CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, January 4, 2010

Subuh


Pada pagi itu, sepertimana pagi-pagi yang lain, aku menyambut kedatangan seorang tetamu tetapku.


“ Assalamualaikum,” seru Subuh.

“ Waalaikumussalam,” sahutku.


Dan kami terus berpelukan tanda rindu serta kasih sayang. Kutanya khabar Subuh bagaimana keadaannya mengembara dari satu tempat ke satu tempat.


“ Tadi... ,” kata Subuh dengan sayu.


“ Aku baru sahaja melintasi satu tempat. Kucari tempat persinggahan. Kuketuk rumah-rumah yang sunyi, tetapi tiada satu pun yang sudi menerimaku sebagai tetamu.”


Dan airmata Subuh pun berlinangan.


“ Subuh, usah kau pedulikan mereka. Bukankah aku menyambutmu dengan penuh rasa kegembiraan?.”


Subuh mengangkat mukanya seolah-olah teringat sesuatu.


“ Oh ye, tadi aku lalu di suatu tempat yang tanahnya di sebalik sungai. Orang-orangnya sepertimu. Menyambutku dengan penuh kesukaan. Menjamuku dengan pelbagai hidangan yang lazat serta mengiurkan. Hidangan yang paling aku suka ialah buah TAHAJJUD. Puas kucari di bumi yang lain tapi jarang aku temui. Di situ aku meratahnya dengan puas serta leka.”



Dan Subuh merenung mataku mengharapkan sesuatu. Aku fahami maksud Subuh.


“ Maaf Subuh, aku tiada menanam pohon AL-LAIL, jadi aku tidak dapat menghidangkanmu dengan buah yang kau sukai. Tapi aku ada roti SIYAM.” cadangku kepada Subuh. Subuh menolak dengan hormat.


“ Rotiku ada tuan punyanya,” kata Subuh.


“ Adakah kau mahu manisan ZIKIR ?” rayuku kepada Subuh.


“ Baiklah, ambilkan aku sedikit serta bawakan kepadaku segelas

AIRMATA TANGISAN,” pinta Subuh.


Aku agak sugul, bagaimana harusku beritahu kepada Subuh yang AIRMATA TANGISAN sudah hampir kekeringan akibat kemarau maksiat yang berpanjangan. Namun aku tetap menjenguk ke dalam perigi yang memuatkan airmata tersebut. Aku terkejut.


Perigi tersebut hampir separuh penuhnya. Dan aku berdetik di dalam hati. Adakah ini tanda kemarau akan berakhir?


Tanpa berlengah lagi, kubawa air tersebut kepada Subuh. Tetamu yang kusanjungi dan kusuakan manisan yang dipintanya. Selesai menjamah kesemuanya, Subuh pun melirikkan sebuah senyuman.


“ Subuh... ,” seruku.


“ Mahukah engkau tinggal selamanya dengan ku? Aku memerlukan teman dalam kesunyian. Akan kulayan kau dengan sebaiknya wahai Subuh.”


Subuh tersenyum lagi menandakan permintaanku tidak akan dipenuhi.


“ Aku perlu menziarahi ramai orang dan ramai lagi yang memerlukan kehadiranku untuk mengubati rindu mereka, sepertimana aku menguliti mimpimu.”


Dan aku akur dengan penjelasan Subuh.


“ Subuh... ,” seruku lagi bila melihat Subuh bersiap untuk pergi.


“ Sudikah kau menziarahiku lagi esok hari?”


“ InsyaALLAH,” jawab Subuh.


“ Bukankah aku kekasih yang kau rindui?”


Subuh berangkat dengan lambat tetapi tetap.


“ Assalamualaikum.” seru Subuh.


“ Waalaikumussalam.” jawabku kembali.



Dan mataku terus meniti langkah Subuh yang semakin laju dengan setiap langkah dan akhirnya Subuh hilang dari pandangan.



Renungkan : Apakah keluh-kesah dari Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak?

0 comments: