CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Friday, August 28, 2009

Mujahadah nafs...




Buat mawar mujahidah yang sedang merindui jalan menuju ALLAH..



SEKALI WANITA TERGODA

GUGURLAH SEKUNTUM WARDAH DI SYURGA

SEKALI WANITA TERNODA

BERDEKAH-DEKAHLAH SYAITAN DI NERAKA



Selawat dan salam buat Rasul junjungan mulia utusan al-Khaliq juga buat ahli keluarga serta para sahabat seperjuangan baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w dan generasi itu telah tiada. Lama sudah mereka berlalu meninggalkan kita. Muhammad kekasih Ilahi. Baginda berjalan selangkah demi selangkah, meniti hari. Bermula daripada seorang diri, menyampaikan dakwah secara sembunyi-sembunyi. Bukannya baginda tidak berani dan takut mati. Namun begitulah tertib wahyu ketika itu, strategi Rabbi.



Ucapan baginda tidak lahir dari nafsu melainkan wahyu yang suci. Ucapan yang hikmah dari qalbu yang jernih disambut oleh hati yang bersih dan jiwa yang fitri. Dimulainya mengajak manusia kepada Islam dengan menjernihkan fikrah, pendekatan akal, pemahaman dan menyentuh sanubari. Juga dengan jalan hujah dan keterangan. Dengan hikmah dan pengajaran yang penuh seni.



Bilamana ada perdebatan dirungkaikan dengan baik dan menambat hati. Bilamana mendapat tekanan, rintangan serta siksaan, berlaku sabar dan melontarkan doa kasih nan sejati.



Mafhum dari firman ALLAH dalam surah an-nahl:125,

“Serulah manusia ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNYA dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”



Dengan rahmat dan kurnia Ilahi, seorang demi seorang ikut sertai, dari golongan bangsawan mulia hingga hamba sahaya tidak mahu terkecuali. Lalu terbentuklah jemaah Islam pertama, jemaah Rasulullah dan para sahabi. Jemaah baru itu masih sangat kecil dan merupakan ghuroba’ (orang-orang yang asing) di Mekah, kota kelahiran sendiri.



Golongan ghuroba’ inilah yang kelihatan berjalan perlahan-lahan dan lambat, akhirnya menjadi kelompok yang mulia, gah, izzah dan menjadi generasi terbaik umat ini. Mereka tidak punya apa-apa melainkan jiwa yang sarat keyakinan bahawa janji ALLAH itu pasti! Biarpun sehebat mana rintangan, jalan dakwah terus berkembang dan panjinya berkibar tinggi.



Jalan dakwah inilah jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w sehingga Islamnya seluruh jazirah Arab, demikian pula Parsi dan Romawi, mencabut jahiliyyah dari akar umbi.



Rasulullah s.a.w bersabda: “Ingatlah bahawa Islam itu berputar, maka berputarlah kamu bersama Islam ke mana sahaja ia berputar. Ketahuilah bahawasanya penguasa dan al-Quran akan berpisah. Maka janganlah kamu berpisah dari al-Quran.”



Duhai ukhti sayangfillah, si mawar mujahidah, ketahuilah..


Dalam langkah hidup ini, hanya ada dua jalan yang salah satunya perlu ditempuhi. Kita yang memilih jalan kita sendiri. Kalau kita tidak memilih jalan menuju ALLAH, pasti kita akan melangkah di jalan yang menuju kecelakaan diri sendiri, itulah jalan syaitan, nafsu, syahwat dan duniawi. Jalan keimanan itulah jalan Ilahi dan jalan kesesatan itulah jalan iblisi.



Orang yang berjalan di atas jalan Ilahi sentiasa berusaha mensucikan jiwa dan hati sementara orang yang berjalan di jalan iblisi, tiada sensitivisi dalam mengotori dan menodai hati.



Masing-masing berusaha dan masing-masing bergerak, meniti waktu dan hari, mendekati mati. Akhirnya, masing-masing kerdil mengadap Ilahi. Sudah tentu di sana ada perbezaan antara keduanya di alam abadi.



Tanyalah diri, mahukah kita mencampakkan diri ke lembah kehinaan saat bertemu Rabbi? Atau meletakkan diri ke darjat yang tinggi? Sudah tentu jawapan kita mengimpikan tempat di sisi Ilahi.




Namun, adakah sama orang yang sekadar berangan-angan tetapi tidak punyai persiapan yang serius untuk menghadapNYA? Berapa ramai orang yang sanggup jual harta dan dirinya demi membeli redha ALLAH? Sungguh, manusia lupa saat perjumpaan itu!



Zaman berganti zaman, Islam asing (gharib) kali kedua, hati-hati yang jernih fikrahnya menjadi ghuroba’. Golongan ini sedikit sekali kerana golongan ini sering mendapat tapisan dari Ilahi sehingga yang tinggal hanyalah orang-orang yang benar ikhlas denganNYA.



Adakah amalan dan akhlak kita melayakkan diri kita termasuk ke dalam golongan ghuroba’ ini? Mungkinkah kelalaian kita yang berterusan ini akan menyebabkan kita turut tertapis dari jalan ini? Nauzubillah!



Ya ALLAH, bantulah kami untuk tetap layak berada di atas jalanMU. Jangan sekali-sekali KAU menapis kami dari jalanMU kerana kelalaian kami sendiri untuk mengubat hati dan mengubah sahsiah diri. Amiin....



0 comments: